Tuesday, August 27, 2013

KEKUATAN CINTA SUAMI ISTERI

Bismillahirrahmanirrahim…

Kekuatan cinta… Apakah itu sebenarnya kekuatan cinta? Kekuatan cinta yang lahir dari hati yang bergelar suami dan isteri… Rupanya sangat besar hikmah diri ini berjauhan dengan suami tercinta.. Maka sebenarnya Allah telah memberi ruang kepada kami untuk merasa apakah sebenarnya kekuatan cinta itu… Mungkin tidak pernah dilalui oleh pasangan suami isteri yang lain… SubhanAllah… Indahnya setiap apa yang Engkau tentukan buat hamba-Mu..

Jangan ditanya tentang dimana hak seorang isteri dan suami apabila pasangan itu ditakdirkan untuk berjauhan… Mampukah hak itu dipersoalkan walhal keadaan mereka tidak mengizinkan? Sucinya cinta kerana Illahi adalah cinta yang lahir tanpa perlu dipaksa atau dipujuk rayu oleh pasangan atau orang disekeliling. Sucinya cinta itu adalah cinta yang lahir daripada ketulusan, kepercayaan dan kesetiaan yang ikhlas hanya kerana Allah.. Kerana Dialah yang memberikan rasa cinta itu kepada kita. Kerana Dialah yang mengizinkan kita saling mencintai.

Walaupun hanya sesekali dapat mendengar suaranya, tapi tidak enak rasanya jika masa rehat suami terganggu.. Sanggup  ditahan rasa rindu ini agar dia dapat berehat. Sayangnya  kepada suami kerana Allah. Betapa kuatnya Allah menghubungkan rasa cinta kami ini.. SubhanAllah… Hanya Allah yang tahu..
Tatkala rindu teramat kepadanya, saya luahkan kepadanya.. Tetapi rasa rindu itu tidak hilang.. Rindu itu semakin membuak-buak.. Rasa bagai ingin terbang kepadanya. Namun, bila diri sudah terlalu lemah untuk merinduinya, diadukan pula kepada Allah. “Ya Allah…. Sesungguhnya hamba ini adalah insan yang lemah.. Suami mencari rezeki dan jauh sekali. Sesungguhnya hamba tersangat rindukan dia Ya Allah.. Kau tenangkanlah hatiku dan hati suamiku.. Kau sampaikanlah rasa rinduku ini kepadanya…” Bukan seperti pos laju yang mengambil masa seharian untuk tiba kepada penerima. Kuasa Allah lagi hebat. Dengan doa ini, terus suami menghubungiku. SubhanAllah…. Sungguh hebatnya doa kepada Allah ini….

Kekuatan disebalik penantian ini adalah menghabiskan bacaan Al-Quran sebelum suami pulang. Bacaan itu amat bersemangat sekali… Sehingga boleh habis 1 juzuk dalam sehari jika tidak sibuk. In shaa Allah. Namun, disebalik ‘semangat’ mengaji Al-Quran pemberiannya, kadang-kadang menitis juga air mata ini… Bergetar juga suara bacaanku ini kerana menahan sedih dan rindu kepadanya.. Tetapi semua itu sangat berbeza. Sangat berbeza bila dibandingkan dengan titisan air mata yang mengiringi penulisan  ini.. Titisan air mata ini berlalu meninggalkanku dan hanya memberikan sedikit kepuasan dan kepenatan. Lain pula dengan tangisan semasa mengadu kepada Allah. Ketenangan… Penuh ketenangan..

Cintanya saya kepada suami adalah dengan membacakan Al-Quran pemberian suami.. Agar dia juga mendapat ‘saham’nya.. in shaa Allah. Saya harapkan Al-Quran itu boleh menjadi pendamping, penenang dan petunjuk bagiku walaupun digelar sebuah ‘Al-Quran’ buruk di masa akan datang.Al-Quran itulah penenang hati yang gundah gulana. Semoga Allah menerima setiap amalan ini. Aamiiin


Wahai sayang,
Jauhnya dirimu,
Namun ‘kasih’ tetap dirasai,
Cerianya suaramu,
Namun ‘syahdu’ tetap meliputi,
Rindunya kepadamu,
Namun ‘sabar’ itu membatasi,
Kenangan masih segar, sebagai penawar hati,

Wahai sayang,
Percayalah,
Kita pasangan diuji Tuhan,
Beribu batu menjadi taruhan,
Ombak dan taufan menjadi kebiasaan,
Hanya ‘doa’ menjadi kekuatan,


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~

Tuesday, August 20, 2013

Perasaan di hari pernikahan

Bismillahirrahmanirrahim.. Alhamdulillah, akhirnya berpeluang juga saya berkongsi kisah semasa di hari pernikahan antara saya bersama pilihan hati. 9 december 2012 adalah tarikh yang sangat bermakna buat saya dan suami.

Tiada apa dapat difikirkan. Rasa bagai tidak percaya. Malam sebelum perkahwinan, saya mengambil beberapa jenis bunga untuk mandi bunga. Sudah!! Mandi bunga?? Ini bukannya mandi bunga yang telah dijampi oleh tok bomoh ataupun yang seangkatan dengannya. Tujuan mandi bunga dan limau tu, sebab mahukan wangi dan kesegaran bunga itu sahaja.. Saya sempat juga bacakan surah yassin dalam satu botol air, dan kemudiannya saya campurkan air itu dengan air bunga di dalam baldi. Dengan harapan agar Allah memudahkan segala urusan pernikahan dan majlis walimah yang sangat-sangat bermakna ini. Alhamdulillah.. sangat menyegarkan.

Malam itu, saya sibuk membuat persiapan terakhir bagi hantaran dan hiasan di ruangan akad nikah. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Sebelum tidur, ada beberapa orang kawan yang sanggup datang awal semata-mata untuk memakaikan inai kerana inai sebelumnya tersangat cair. Tidak berseri langsung. Mungkin salah cara bancuhan. Maklumlah, persiapan sendiri.. ^__^ Lepas pakai inai, terus tidur. Tak fikir apa dah.

Dua perjanjian yang telah saya dan suami lafazkan sebelum pernikahan.Perjanjian yang  pertama, kami tidak boleh bersua muka sepanjang tempoh pertunangan dan perjanjian yang kedua ialah aurat saya terhadap suami masih seperti hubungan ajnabi melainkan sebelum tidur. Mengapa perlu bersyarat? Erm.. barulah rasa keindahan perkahwinan itu. ^_~



Dengan syarat itu, membuatkan saya rasa sangat berat untuk melihat wajah suami terutamanya sebelum akad nikah. Maafkan adinda wahai kekanda.. Terlalu berat untuk melihat wajah suami sehinggalah terlafaz ijab dan qabul. Mahu dikikis perasaan yang tak menentu itu. Sesudah akad, penyerahan mas kahwin dan sesi bergambar, kami melaksanakan solat sunat nikah untuk mengucapkan rasa syukur kepada Allah yang telah melancarkan majlis pernikahan kami. Apa yang mengagumkan, itulah kali pertama kami solat berjamaah sebagai suami dan isteri. Alhamdulillah ya Allah. Sungguh besar nikmat-Mu ini. Sangat terharu semasa suami membacakan doa diumbun rambut ini. Bagai nak gugur jantung ini.. ^__^

Semasa persandingan, saya mengukirkan senyuman khas buat semua sahabat-sahabat yang sudi hadir. Alhamdulillah… Terima kasih kerana sudi memeriahkan dan mendoakan kami.. Terima kasih kerana banyak bagi hadiah… Complete kitchen sets. ^__^ Terima kasih buat saudara, jiran, rakan sekelas, Biomedic tahun ketiga, tahun keempat dan juga junior, rakan-rakan mantan MTM dan MTM, rakan-rakan PMIUPM, rakan-rakan bekas pelajar Matrik Johor, rakan-rakan UTeM, jiran lama, dan semuanya yang telah hadir. Alhamdulillah.. Sangat ramai dan meriah.



Bersama iringan paluan kompang, tiga pertunjukan silat, satu tayangan video yang cukup indah (pre-wedding), dan lain-lain lagi. Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar.

Satu ucapan, ribuan terima kasih yang tak terhingga dan yang terpaling special adalah buat ayah dan ibu yang tersangat sporting. Tampa redha mereka, maka tiadalah redha Allah. Alhamdulillah, dengan redha dan izin mereka, saya sudah pun menjadi seorang isteri kepada seorang ‘lelaki’ yang tidak pernah saya kenali sebelum ini.  Seorang anak yang dahulunya bergantung kepada ibu dan ayah, kini menjadi isteri pelaut yang perlu berdikari sendiri. Jika dahulunya ayah dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas saya, kini suami pula yang akan menggalas tanggungjawab yang amat berat itu. “Kerana sayangnya hana terhadap abang, in shaa Allah hana akan menjaga setiap batas perlakuan hana sebagai isteri abang. Walaupun abang jauh, cinta yang dipupuk atas cinta Illahi ini pasti akan dilindungi dan dirahmati oleh-Nya.. Biiznillah..”

Pasti kalian tertanya apakah tujuan perjanjian kedua yang telah saya nyatakan tadi. Tujuan saya memberikan perjanjian tersebut adalah, saya selalu cuba dan cuba untuk menutup aurat saya dikalangan lelaki ajnabi. Tetapi selepas akad nikah, maka apa yang telah saya pelihara adalah ‘halal’ hanya untuk suami. Maka saya berpandangan, kali pertama suami melihat aurat saya, biarlah dalam keadaan sebaik yang mungkin. Bukannya dalam keadaan tidak terurus kerana keletihan. You get what you give. The most important thing is the first impression. ^_~


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~

Monday, August 12, 2013

SETINGGI MANA EGOMU DALAM RUMAH TANGGA??

Bismillahirrahmanirrahim..

Ya Allah.. Takutnya hamba ingin menulis pada kali ini ya Allah… Kau jauhkanlah hamba daripada perkara2 ini ya Allah.. Cuma tujuan saya ingin berkongsi adalah sebagai peringatan sesama kita dan sebagai peringatan kepada saya di hari tua.. In shaa Allah… Dengan pemikiran yang waras, saya harap idea ini boleh memimpin saya kembali ke jalan yang benar sekiranya suatu hari nanti saya diuji pula dengan hal yang sedemikian. Nauzubillahi min zalikh..

Baru-baru ini, pasti kita sangat biasa dengan amalan memohon ampun antara orang-orang yang kita sayangi dan kenali. Jatuh berderai air mata memohon ampun, namun belum pun tegak matahari diatas kepala, sudah mengulangi kesalahan yang sama. Adakah sudah menjadi tabiat dan kebiasaan? Nauzubillahi min zalikh ya Rabbal A’lamin..

Anak memohon ampun kepada kedua ibu dan bapa, isteri memohon ampun kepada suami. Namun, belum selesai pun sehari beraya, sudah mula bergaduh semula. Dengan isteri berani menaikkan tangan ke muka suami… Wahai wanita…. Setulus mana pun sayangmu kepada suami, jika kita sayang anak, kita tangan-tangankan, tapi tiada istilah itu terhadap suamimu. Wahai wanita…. Sebelum kamu bernikah, syurgamu adalah dengan redha kedua orang tuamu. Tetapi apabila sudah terlafaznya, “Aku terima nikah …….dengan mas kahwinnya, …….tunai”, maka syurgamu adalah bersama redha suamimu. Walaupun sekeras mana pun suamimu, walau macam mana salah pun suami mu, gunakanlah cara terbaik untuk berbincang. Rendahkan egomu.

Begitu juga denganmu wahai suami. Walaupun syurga isteri adalah bersamamu, ini tidak bermaksud kamu berhak ke atas isteri sepenuhnya. Isterimu adalah pendampingmu… Tulang rusukmu.. Bukan dari tulang kepala untuk dijunjung dan bukan juga dari tulang kaki untuk dipijak-pijak. Tetapi dari tulang rusukmu wahai kaum Adam. Tulang yang dekat dengan hatimu untuk disayangi. Fahamilah isterimu. Berlembutlah dengannya. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Jika dinilai antara kalian siapakah yang terbaik bersama isterinya, maka akulah yang paling baik terhadap isteriku..”

Siapa kata dengan KEKERASAN itu kita boleh melembutkan hati yang KERAS???? Lalu bagaimana titisan air yang lembut boleh melekukkan batu yang keras setelah berulang kali menitis di atas tempat yang sama??? Wahai suami, wahai isteri…. Pilihlah jalan KELEMBUTAN untuk menyelesaikan urusan antara kalian.  Hidup ini tidak lama.. Entah esok, entah lusa, nyawa kita boleh diambil. Hablu minAllah, Habluminannas… Menjaga hubungan dengan Allah, hubungan dengan manusia. Allah menciptakan manusia sebagai khalifah, bukannya sebagai ahli ibadat semata-mata.


Inilah jawapannya mengapa saya mudah menitiskan air mata apabila suami tertinggikan suara. Terlalu banyak masalah rumah tangga yang saya lihat… dan saya takut…. Nauzubillahi min zalikh…

~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~ 

Wednesday, August 7, 2013

RAYA PERTAMA SEBAGAI ISTERI PELAUT

Bismillahirrahmanirrahim….. Alhamdulillah… Tahun ini adalah pertama kalinya saya beraya sebagai seorang isteri… Syukur alhamdulillah ya Allah… Engkau telah permudahkan segala urusan kami….

Setiap orang akan diuji… Siapa kata ‘perkahwinan’ itu sentiasa ‘manis’ dan tidak ada ‘masam’, ‘masin’, ‘pahit’?…  Setiap pasangan akan diuji, cuma bentuk ujiannya yang berbeza..

Mungkin pasangan yang baru berkahwin, akan bergaduh nak balik kampung mana dulu sebab raya pertama selepas perkahwinan kan? Masing-masing nak memperkenalkan ‘orang baru’ atau ‘pasangan tercinta’ kepada sanak saudara. Apa-apa pun.. perlulah adil.. bergilir-gilir..

Lain pula dengan kisah isteri seorang pelaut. Saya juga tidak pasti bagaimana  isteri pelaut melaksanakan sistem balik raya  sewaktu suami mereka masih di laut. Teringin benar nak bertanya mereka..

Bagi saya, walaupun suami tiada di darat, saya masih melawat keluarga mertua di hari raya. Kali ini saya beraya sebagai seorang isteri buat pertama kalinya tanpa suami di sisi. Sedih? Mestilah sedih… Tapi tak nak layan sangat perasaan itu… Tidak boleh mengubah apa-apa pun… Suami sedang mencari rezeki yang halal… bukannya berjalan-jalan.. Semoga Allah berikan kekuatan buat suami yang hanya boleh merenung ombak dilautan tatkala isterinya sedang sibuk menikmati rendang… eeerrr…. @_@

Walaupun suami tiada di sisi, tetapi orang yang disayangi suami saya masih ada di sini.. tak lah jauh sangat. Masih mampu untuk memandu dan melawat keluarga mertua. Bila difikirkan, keluarga itulah yang membesarkan suami yang amat-amat saya cintai ini.. Keluarga itulah yang telah merakamkan kisah hidup suami saya selama 25 tahun sebelum dia berkahwin dengan saya.

Apabila difikirkan… Saya berkahwin bukanlah sekadar cinta. Tapi  cinta saya ini kerana Allah. Jadi saya perlu mencintai orang-orang yang suami saya sayangi seperti apak, mak mertua dan keluarganya yang lain. Akan saya gagahi kerana Allah.. In shaa Allah.. Raya pertama di rumah ibu. Raya kedua di rumah mertua. Semoga Allah permudahkan segala urusanku…


Semoga Allah tenangkan hati suami yang masih bekerja walaupun di hari raya. Harap-harap tahun depan boleh beraya dengan suami dan baby.. aamiiin. In shaa Allah… ^__^

~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~

Tuesday, August 6, 2013

Raya datang lagi > Diri berdiri sendiri

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan oleh Allah untuk beraya pada tahun ini walaupun bukanlah disamping suami tercinta..

Dikosongkan perasaan agar x terlalu syahdu berjauhan dengan suami.. Dilapangkan hati agar x terlalu gembira.. Perasaanku seolah-olah hari yang biasa.. Tapi telinga ini rasanya x sudi mendengar lagu-lagu raya terutamanya yang berentak syahdu. Tak nak lah melayan perasaan.. Tak ada gunanya air mata jatuh berlinangan.. Hidup harus diteruskan juga. Air mata x dapat merubah segalanya.

Kepada Allah tempat mengadu...Kekuatan diri ini adalah membuat lakaran minda sendiri. Bukanlah nak menipu diri.. Tapi sekadar ingin mengubat kesedihan diri. Sampai bila mahu merintih dan merengek.. Katanya mahu menjadi seorang ummi. Ummi kepada anak-anak yang boleh membela agama. jadi, haruslah tabah.. 

Raya pertama di rumah sendiri. Raya kedua dirumah mertua. Inilah kali pertama beraya sebagai seorang isteri, tetapi suami tiada disisi.. Bukan.. Bukanlah maksudnya ingin mengeluh.. Suami mencari rezeki.. Tiada apa perlu dikesalkan. 

Wahai anakku.... Hanya dirimu pelengkap masjid cinta yang telah dibina ini. Semoga dirimu boleh menjadi peneman seorang ummi yang harus berdiri sendiri. Semoga dirimu menjadi anak yang soleh dan solehah.

Wahai suamiku..... Tiada rasanya istilah mementingkan diri dalam hubungan ini. Kesedihan yang isterimu lalui, bukanlah bermakna kesedihan yang berganda lebihnya daripada kesedihan yang dirimu rasai. Selamat berhari raya wahai sayang.. Semoga Allah sentiasa melindungi dirimu.. Salam tahajud buat dirimu..

~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~

Monday, August 5, 2013

Jawapan SUAMI mengenai MIMPI pelik

Bismillahirrahmanirrahim….

Syukur Alhamdulillah, dalam x sedar sekarang ni da 27 Ramadan.. Lagi 2 bulan, husband nak balik… yayyy… sangat2 menantikan kepulangan suami tercinta…. Entry kali ni, saya ingin menceritakan sedikit mengenai mimpi saya… Kalau nak dihuraikan satu persatu, memang sangat banyak… Tetapi saya tidak berniat pun nak menceritakan mimpi saya secara terperinci. Tapi saya nak berkongsi hikmahnya sebuah mimpi.

Sejak kecil, saya sering mimpi perkara yang pelik dan menakutkan sehingga sekarang. Dulu semasa kecil, saya sering menangis bila dapat mimpi yang pelik…. Sebab semuanya melibatkan orang yang saya sayangi… Sekarang ni, saya cuba mengabaikan mimpi tersebut… Tapi kalau dah pelik sangat, fikiran ni boleh terganggu juga… Dalam suatu hari boleh dapat 2-3 mimpi…

Kadang-kadang bila terjaga tengah malam sebab mimpi yang pelik itu, terus saya bergegas ke bilik air… Setelah berwuduk, sempat juga tunaikan solat tahajud, solat sunat taubat dan sunat hajat. Erm, mungkin itu adalah kebaikan terjaga di tengah malam… Mimpi yang ngeri ibarat alarm untuk bertahajud. Ambil yang positif.. In shaa Allah,,, Tiada lagi yang perlu dirisaukan.

Setelah berkahwin, bagi saya tiada rahsia antara suami dan isteri. Mimpi yang pelik pun saya ceritakan pada suami… Jawapan suami pula sangat berbeza dan tak pernah saya dapat jawapan seperti itu… Sangat kreatif.. he he.. Mungkin suami tak mahu saya mengambil serius mengenai mimpi-mimpi yang pelik tu. Bila saya ceritakan kepada suami, suami saya dengan kreatifnya mengubah suai kisah mimpi itu. Bila saya ceritakan tentang kepala kucing yang pecah dan berdarah, suami saya mengatakan bahawa itu sebenarnya adalah buah tembikai yang pecah… Hi hi hi…. Daripada serius, terus saya ketawa…

Suami siap berpesan lagi, “kalau mimpi yang pelik, kejutkan abang,, boleh abang putar belitkan mimpi tu…” he he he…. Terima kasih sayang…. (buat suami tercinta) Suami banyak membantu diri ini…. Rindu sangat padanya… Rajin… Siap buat air bacaan yassin lagi…Alhamdulillah ya Allah… Suamiku anugerah-Mu yang sangat bermakna…

Tapi takut juga sekiranya itu adalah petanda sesuatu... Nauzubillah... Minta dijauhkan Allah..


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD S.A.W~~