Tuesday, August 2, 2016

Hinakah susu formula??

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah, irdina sudah pun tidur. Lama benar tidak menaip di blog ini. Menulis di blog ini ibarat sesi meluahkan perasaan. Huhuhu…. Kali ni rasa nak membebel tentang isu susu formula. Terlalu banyak pandangan mengenai pengambilan susu formula bayi dan saya tidak kisah mengenai perbezaan pendapat tersebut. Saya raikan perbezaan, kerana Allah juga menentukan jalan hidup yang berbeza bagi setiap manusia. Idea untuk menulis mengenai hal ini tiba-tiba muncul apabila wujudnya golongan yang tersangat menentang pengambilan susu formula bayi seolah-olah susu lembu/kambing itu jijik. Nauzubillahi min zalikh. Saya kurang pasti apakah tujuan utama viral mengenai hal ini dan tersangatlah menyakitkan hati. Saya seperti biasa, mengambil jalan yang tengah.. meraikan pendapat yang berbeza kerana setiap orang pasti ada alasan tersendiri untuk mengambil susu formula.

Inilah kisah saya yang memberikan susu formula kepada anak;

1)  Breastmilk jaundice.
Semasa irdina  baru lahir, saya tersangat teruja untuk menyusukan irdina terutamanya apabila banyak membaca mengenai kebaikannya menyusukan anak sehingga umur 2 tahun seperti yang dianjurkan dalam al-quran. Semangat itu tersangatlah berkobar apabila nurse seolah melarang keras pengambilan susu formula (sebenarnya nurse Malaysia menggalakkan penyusuan eksklusif, tetapi cara mereka seolah susu formula itu sangat jijik.. *_*). Saya pun berazam supaya irdina tidak menyentuh langsung susu formula sepanjang hidupnya, siap beli electrical double breast pump dan mencari banyak ilmu teori di website yang sepatutnya. Pada hari ke enam, bacaan bilirubin irdina tinggi dan nurse serta doktor masih memaksa saya memberi susu badan secara kerap kepadanya. Saya yakin, saya telah memberi susu yang cukup kepada irdina kerana berat badannya sentiasa meningkat. Perkara tersebut berterusan sehinggalah irdina diberikan phototherapy selama 6 hari (2 kali warded). Kemudian, bacaan bilirubin masih lagi meningkat dan saya terus membawa kes ke klinik pakar kanak-kanak swasta. Doktor tersebut menjelaskan, kemungkinan irdina dibawah kes breastmilk jaundice. Menurut doktor tersebut, ada dua kemungkinan jaundice iaitu, breastfeeding jaundice dan breastmilk jaundice. Breastfeeding jaundice (usia bayi kurang 2 minggu) berlaku apabila lekapan bayi pada breast tidak betul dan menyebabkan bayi tidak mendapat susu yang cukup untuk mengeluarkan bilirubin dari hati dan badan bayi. Manakala, breastmilk jaundice (usia bayi lebih 2 minggu) pula disebabkan oleh susu ibu yang tidak berjaya membawa molekul bilirubin keluar dari hati dan badan bayi. Berbalik semula kepada kes irdina iaitu breastmilk jaundice, doktor tersebut mencadangkan saya berhenti memberikan susu badan kepadanya  selama 3 hari dengan menggantikan susu formula. Oh TIDAKKKK!!! Ini telah melanggar prinsip saya. Saya sangat sedih. Sangat-sangat sedih… Bayi belum genap sebulan, sudah diperkenalkan dengan susu formula. Sedihnya.. sangatlah sedih… Tetapi demi anak tercinta, saya turutkan juga cadangan doktor tersebut. Alhamdulillah, dengan izin Allah, irdina sudah pulih sepenuhnya daripada jaundice.

2) Buat stock susu.
Alhamdulillah, susu saya banyak.. sekali pam sahaja dah dapat 160ml untuk sebelah breast. Happy sangat!!! Saya terus pulang ke UPM untuk buat stock susu banyak2 sebelum saya masuk semester. Banyak… Stock EBM penuh dalam peti ais. Bila hantar ke pengasuh, irdina langsung tidak mahu minum susu yang saya perah… Sedih… Tapi saya masih tidak berputus asa.. Bangun malam-malam untuk pam susu… Tidak mengenal erti letih. Tapi bila bagi pada pengasuh, irdina menangis terjerit-jerit tak nak minum susu tersebut. Mungkin kerana sudah sebulan saya berhentikan susu formula kerana bayi saya kerap muntah bila minum susu formula tersebut dan nurse juga tidak menggalakkan saya menggunakan susu formula. Dikampung, ibu saya cuba beri guna botol berisi susu badan yang segar, bayi saya terima. Bila balik UPM, dia marah sangat-sangat sebab saya sendiri yang bagi dia guna botol walaupun dalam botol tersebut ialah susu badan yang segar. Saya belikan irdina pelbagai jenis botol susu seperti avent, tommee tippee, mimijumi dan NUK. Akhirnya NUK (nipple getah berwarna coklat yang digemarinya. Tetapi dia menolak isi dalam botol pula). Saya serahkan pada pengasuh kerana dari pembacaan saya, bayi susah nak terima botol jika disuap oleh ibunya sendiri kerana ibunya ada bau susu. Jadi saya cuba serahkan kepada pengasuh. Namun, pengasuh pun tak tahan mendengar tangisan irdina, lalu dia menjadi ibu susuan kepada bayi saya. Dapatlah dia ibu susuan baru… Alhamdulillah… Ada yang sudi menjadi ibu susuan.. Tapi saya terkilan kerana stock EBM saya terbuang begitu sahaja kerana expired. Ibu saya pernah datang ke UPM untuk mengajar irdina menggunakan botol, namun tidak berjaya. Irdina sanggup berlapar sehingga jam 5 petang kerana tidak mahu EBM termasuklah susu formula. Kemudian saya tukar pengasuh kerana ibu susuan irdina pun dah tak larat nak susukan bayi saya dan bayi dia. Ingat senang ke nak cari ibu susuan????
Saya menangis, menangis dan menangis. Saya tidak mahu berhenti belajar di UPM tetapi anak saya hanya mahu susu badan secara direct. Susu badan cukup, tapi irdina ada ibu susuan pula. Susu yang saya pam, terbuang begitu sahaja. Sudah diberi guna syringe dan sudu, masih juga tidak terima. Marah betul dia.. *_*

3)Berlapar 4 bulan
Dari usia 4 hinggalah 7 bulan, saya berusaha tukar kepada pelbagai jenis susu formula, tetapi gagal. Sepanjang 4 bulan tersebut, irdina hanya minum sekali dua sahaja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Mak cik pengasuh yang baru tidak mahu saya datang semasa waktu rehat kerana baginya, itu menggangunya kerana dia menjaga ramai budak. #_# Alhamdulillah irdina terima botol tetapi dia hanya mahu susu perahan yang segar. Susu yang diperah hari ini untuk diminum pada esok hari dan begitulah berikutnya. Tiada lagi EBM kerana dia langsung tak mahu susu EBM walaupun telah dicampur susu yang baru diperah. T_T Pandai betul mak cik pengasuh yang baru ni mengajar irdina minum susu. Alhamdulillah.
 Doktor pun pening kepala dengan kes irdina ni. Doktor mencadangkan irdina mula makan seawal usia empat bulan kerana 3 sebab; 1) irdina sudah tegap, 2) irdina melihat orang dewasa makan dengan penuh keinginan, 3) irdina tidak muntah apabila diperkenalkan dengan makanan. Jadi saya pun menurut saranan doktor walaupun niat saya nak beri penyusuan eksklusif sehingga usianya 6 bulan gagal... T_T Namun, demi kesihatan anak tercinta, saya turuti nasihat doktor.

4) Susu badan semakin drop.
Sebagai isteri pelaut, pelbagai perkara perlu diuruskan sendirian. Terkadang rasa tak cukup nafas… lutut terasa lemah untuk melangkah. Saya sangat sibuk dengan kerja makmal. Disebabkan badan rasa semakin lemah, stress dengan kerja, susu badan saya semakin merosot. Saya membeli supplement, tapi masih tidak berjaya. Mungkin kerana sibuk buat western blot yang memerlukan pergerakan yang sangat banyak sepanjang hari. Balik rumah perlu uruskan bayi seorang diri. Tiada bantuan dari sesiapa. Hanya Allah yang mengetahui.. Penat… Tapi saya masih boleh bertahan. Cuma saya tidak mampu menipu sistem badan. Akhirnya susu badan merosot teruk. Bayi menangis kerana tak cukup susu. Habis digigitnya pula hingga berdarah. Siksanya rasa…. T_T

5) Susu kambing jadi pilihan.
Saya sudah penat mencuba pelbagai jenis susu lembu yang memang dirumus khas untuk irdina seperti Enfalac A+, Anmum, Dumex, Snow, dan Isomil. Semuanya irdina tak suka. Akhirnya saya mencuba susu kambing jenama Lazz. Alhamdulillah, irdina terima dengan gembiranya. Saya dapat lihat riak wajahnya yang sangat bahagia dan sukarela meminum susu kambing tersebut, tidak seperti sebelumnya. Dulu irdina nangis terjerit-jerit bila nampak botol susu sebab dia dipaksa minum formula yang tak sedap.. huhu.. sehinggakan pengasuh terpaksa menyuap susu tersebut menggunakan sudu. Alahai anak… Sekarang ini, bayi saya kerap bangun malam sebab nak minum susu kambing tu… sedap sangat agaknya. Huhu

Kepada yang membaca entry kali ni… Mungkin anda akan berkata begini:

            Ini mesti kes tak ajar anak guna botol dari awal.
Ø Untuk pengetahuan kalian, saya dah introduce botol sejak dalam pantang. Dia juga suka minum air masak menggunakan botol. Jadi, tiada masalah dengan botol. Pelbagai jenis botol sudah dicuba, akhirnya NUK juga menjadi pilihan.

Kenapa tak ajar minum EBM?
Ø Mungkin saya tidak ajar bayi minum EBM dari awal sebab semasa berpantang di rumah ibu, peti ais penuh dengan daging, ayam, ikan dan telah mengubah rasa susu. Bayi muntahkan susu EBM. Tiada tempat penyimpanan yang sesuai. Sebab tu saya balik UPM cepat-cepat, tetapi rupanya sudah terlambat. Mungkin nanti kena beli satu peti ais khas untuk penyimpanan susu semasa berpantang.

Kenapa x balik untuk susukan bayi?
Ø Mungkin kalian perlu ikut saya buat western blot di makmal. Western blot amat memenatkan dari pagi hingga ke petang. Alhamdulillah, mak cik pengasuh memahami dan tidak menggalakkan saya datang menyusukan irdina. Lagipun memang tak ada masa nak datang.


Maklumlah, masalah sering berlaku terutamanya bagi menguruskan anak pertama. Masih tiada pengalaman. Semua perkara dibuat ibarat syok sendiri. In shaa Allah, lepas ni akan diperbaiki. Semoga Allah redha dalam usaha yang akan datang.


Kepada mereka yang berjaya menyusukan anak, silalah jangan berbangga dan mengatakan perkara yang tidak baik mengenai susu formula. Jika kalian nak band susu formula, tak perlulah viralkan perkara yang menyakitkan hati orang. Setiap orang ada sebab tersendiri dalam segala keputusan yang mereka ambil. Jangan berlagak tahu dan berlagak pandai. Nanti orang pun meluat. Wallahu a’lam.

~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD S.A.W~~