Monday, June 3, 2013

Nama Manja Suami Isteri

Bismillahirrahmanirrahim….

Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk membuat amal kebaikan dan masih sempat untuk bertaubat…  Alhamdulillah, setelah diberi keizinan oleh suami, maka bolehlah saya berkongsi cerita mengenai kami supaya boleh memberikan sedikit idea kepada pasangan suami dan isteri di luar sana untuk menyerikan lagi suasana rumah tangga kalian.

Setelah menulis dalam post yang lalu mengenai “Lakaran Minda”, saya mula terfikir untuk menambah satu ‘label’ yang baru dalam blog ini iaitu mengenai “seni rumah tangga”.. Di harapkan post ini dapat memberikan manfaat kepada sesiapa yang membaca blog saya ini. In shaa Allah, dengan izin-Nya..

Sebelum berkahwin, saya telah membuat satu “Lakaran Minda” mengenai kehidupan saya yang akan datang. Dari sini, saya terfikir, betapa pentingnya kesenian dalam rumah tangga ini bagi mengekalkan dan menambahkan rasa cinta, kasih sayang, keharmonian dalam mencapai keluarga sakinah dan mawaddah. Ditambah pula dengan satu kata-kata yang menjadi anjakan paradigm kepada diri saya. Kata-kata tersebut telah dilontarkan oleh Ustaz Muhammad Shaari Abdul Rahman dalam satu ceramah beliau. Katanya, “Rumah tangga memang berasakan agama. Tapi bukan agama semata-mata. Rumah tangga perlu ada kesenian yang kita perlu cari agar dapat mengharmonikan lagi sesebuah keluarga tersebut.”

Sebelum berkahwin, saya telah memikirkan satu nama yang istimewa (nama manja), dan hanya akan dipanggil oleh suami tercinta. Dari situlah terbitnya nama ‘Hana’ yang bermaksud, ‘tiada kepayahan rezeki’. saya juga mencari satu nama manja untuk suami saya iaitu, 'habibi' yang bermaksud, 'kekasihku'.  Nampak mudah bukan? Kenapa kami tidak menggunakan nama sebenar kami? Adakah kerana kami tidak bersyukur atau tidak berbangga dengan nama yang telah diberikan kepada kami sejak saya lahir?

Jangan mudah melatah. Rasulullah SAW juga memberikan nama samaran Abdul Rahman sebagai Abu Huraira kerana beliau sukakan kucing. Rasulullah sendiri diberi gelaran Al-Amin sedangkan nama sebenar baginda adalah Muhammad. Dan baginda memanggil Aisyah, isteri kesayangannya dengan gelaran Humaira dan anak kesayangannya Fatimah digelar Az-Zahra.

Panggilan yang diberikan bermaksud sesuatu yang baik dan orang yang disandarkan dengan gelaran tersebut rasa senang dan redha dengan gelaran yang diberikan. Panggilan atau nama itu adalah doa. Sebab itulah dalam Islam menetapkan bahawa ummatnya perlu memberi nama anak dengan nama yang membawa maksud yang baik supaya tidak terjadinya fitnah. Jika sudah diberi nama yang sangat cantik dan baik, lalu mengapa kita perlu ringkaskan nama tersebut sehinggakan tidak membawa apa-apa maksud?

Allah juga telah berfirman dalam A-Quran ayat 11, “…janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan yang buruk (fasik) setelah beriman……”. Maka,  kita perlu memanggil muslimin (orang islam), mukminin (orang yang beriman) dengan panggilan yang disukai mereka dan membawa maksud yang baik.

Hal inilah yang saya nampak pada zaman ini. Bagi saya, tidak salah jika ingin memberikan nama anak panjang berjela tetapi, janganlah dipendekkan sehingga tidak membawa apa-apa maksud. Contohnya nama anak adalah Muhammad Anis Danial, tapi kemudian dipanggil “Dani”.. Dani tidak membawa apa-apa maksud, maka apakah relevannya letak nama anak panjang-panjang dan maksudnya, SubhanAllah, begitu cantik sekali, tetapi dipanggil dengan nama yang tidak mempunyai maksud yang baik. Jika nama yang panjang tetap menjadi pilihan, maka silakan memanggil anak anda dengan nama tersebut. Namun ingatlah setiap panggilan itu adalah doa. Lagi-lagi panggilan yang keluar daripada mulut seorang ibu.


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD S.A.W~~

No comments:

Post a Comment