Monday, June 3, 2013

Beri jawapan,,, Kemudian soalan??

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, ini adalah rentetan daripada tajuk ‘nama gelaran’. Kali ini saya ingin berkongsi mengenai kisah saya dan suami tercinta, mengenai, ‘beri jawapan, baru soalan’. Sistem ini jugalah yang digunakan dalam sistem pembelajaran masa ini iaitu, ‘beri teori, kemudian soalan’. Kenapa perlunya ujian? Ujian adalah untuk mengukur tahap kefahaman seseorang itu terhadap sesuatu topik yang telah dipelajarinya. Dengar macam serius bukan? Tetapi bagi saya, konsep ini boleh diaplikasi dan diolah agar sesuai dijadikan salah satu seni dalam rumah tangga. In shaa Allah.

Buat suami, mungkin anda boleh terus melontarkan soalan dan hanya menunggu jawapan dari isteri anda. Tetapi, buat isteri, konsep ini tidak sesuai diaplikasikan kepada suami anda. Mengapa? Hal ini kerana, lelaki atau suami sebenarnya mempunyai satu fitrah yang tidak boleh dinafikan lagi iaitu ‘ego’. Jika anda memberikan soalan yang tahapnya agak sukar, lalu suami tidak dapat menjawabnya mungkin ini boleh memberikan kesan buruk dalam sesuatu hubungan.

Konsep, ‘beri jawapan, baru soalan’ boleh digunakan dalam keadaan yang santai dan hanya bertujuan untuk bergurau senda. Contohnya, saya pernah memberitahu suami mengenai 3 Muhammad yang terunggul dalam islam iaitu Muhammad SAW, Muhammad Al-Fateh dn Muhammad Imam Mahadi. Suami saya sangat penat dan sibuk bekerja di kapal. Saya faham, soalan yang susah akan memberikan tekanan kepadanya. Maka saya memberitahu dahulu jawapan kepada soalan yang bakal diajukan kepadanya dalam masa beberapa hari lagi. Suami saya sangat genius kerana dia amat peka dengan setiap apa yang saya sampaikan. Alhamdulillah… Dia suami yang sangat memahami dan sangat penyayang.

Beberapa minggu kemudian, saya bertanya kepada suami saya, “Sayang, sayang tahu tak siapa 3 Muhammad yang terunggul dalam islam?” dengan pantas, suami saya menjawab dengan yakin, “Abang tahu…. Nabi Muhammad SAW, Muhammad Al-Fateh dan Muhammad Imam Mahdi..” Saya pun memberikan satu pujian kepada suami saya, kerana dia amat peka sekali dan masih ingat walaupun sudah berminggu lamanya saya memberikan jawapan itu kepadanya… “pandainya hubby hana ni…” kata suami, “Mestilah, tengok la, suami siapa… “ ^__^ 

Suami saya juga pernah menggunakan teknik ini. Contohnya, suami saya sudah pun memberitahu saya mengenai tahun lahir kereta yang kami gunakan. Selang beberapa bulan, suami saya melontarkan kembali soalan itu kepada saya. Dengan bangganya saya tidak dapat menjawab, kerana saya tidak suka ingat nombor dan sejarah. Tapi disebabkan suami telah melontarkan soalan itu sekali lagi kepada saya, sekarang saya sudah berjaya mengingati tahun lahir kereta yang kami gunakan... "1993 ya sayang.... Muda 2 tahun dari hana.... heee..." Sebenarnya, kami tidak pernah merancang. Teknik ini keluar secara spontan. Lalu saya keluarkan menjadi satu topik atau teori agar boleh diaplikasikan oleh orang lain juga. Mungkin kalian juga pernah menggunakan teknik ini secara tidak sedar. Saya dapat merasakan satu ketenangan dan kebahagiaan dengan gurau senda ini. Mungkin bagi pembaca yang lain, kalian boleh mencuba dengan jenis-jenis soalan yang lain.

Buatlah sesuatu ikhlas kerana Allah,… Saya hanya berkongsi agar sahabat-sahabat di luar sana boleh mencuba dengan pasangan tercinta.Semoga Allah merahmati kita semua,.. Aamiiin..


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~

Nama Manja Suami Isteri

Bismillahirrahmanirrahim….

Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk membuat amal kebaikan dan masih sempat untuk bertaubat…  Alhamdulillah, setelah diberi keizinan oleh suami, maka bolehlah saya berkongsi cerita mengenai kami supaya boleh memberikan sedikit idea kepada pasangan suami dan isteri di luar sana untuk menyerikan lagi suasana rumah tangga kalian.

Setelah menulis dalam post yang lalu mengenai “Lakaran Minda”, saya mula terfikir untuk menambah satu ‘label’ yang baru dalam blog ini iaitu mengenai “seni rumah tangga”.. Di harapkan post ini dapat memberikan manfaat kepada sesiapa yang membaca blog saya ini. In shaa Allah, dengan izin-Nya..

Sebelum berkahwin, saya telah membuat satu “Lakaran Minda” mengenai kehidupan saya yang akan datang. Dari sini, saya terfikir, betapa pentingnya kesenian dalam rumah tangga ini bagi mengekalkan dan menambahkan rasa cinta, kasih sayang, keharmonian dalam mencapai keluarga sakinah dan mawaddah. Ditambah pula dengan satu kata-kata yang menjadi anjakan paradigm kepada diri saya. Kata-kata tersebut telah dilontarkan oleh Ustaz Muhammad Shaari Abdul Rahman dalam satu ceramah beliau. Katanya, “Rumah tangga memang berasakan agama. Tapi bukan agama semata-mata. Rumah tangga perlu ada kesenian yang kita perlu cari agar dapat mengharmonikan lagi sesebuah keluarga tersebut.”

Sebelum berkahwin, saya telah memikirkan satu nama yang istimewa (nama manja), dan hanya akan dipanggil oleh suami tercinta. Dari situlah terbitnya nama ‘Hana’ yang bermaksud, ‘tiada kepayahan rezeki’. saya juga mencari satu nama manja untuk suami saya iaitu, 'habibi' yang bermaksud, 'kekasihku'.  Nampak mudah bukan? Kenapa kami tidak menggunakan nama sebenar kami? Adakah kerana kami tidak bersyukur atau tidak berbangga dengan nama yang telah diberikan kepada kami sejak saya lahir?

Jangan mudah melatah. Rasulullah SAW juga memberikan nama samaran Abdul Rahman sebagai Abu Huraira kerana beliau sukakan kucing. Rasulullah sendiri diberi gelaran Al-Amin sedangkan nama sebenar baginda adalah Muhammad. Dan baginda memanggil Aisyah, isteri kesayangannya dengan gelaran Humaira dan anak kesayangannya Fatimah digelar Az-Zahra.

Panggilan yang diberikan bermaksud sesuatu yang baik dan orang yang disandarkan dengan gelaran tersebut rasa senang dan redha dengan gelaran yang diberikan. Panggilan atau nama itu adalah doa. Sebab itulah dalam Islam menetapkan bahawa ummatnya perlu memberi nama anak dengan nama yang membawa maksud yang baik supaya tidak terjadinya fitnah. Jika sudah diberi nama yang sangat cantik dan baik, lalu mengapa kita perlu ringkaskan nama tersebut sehinggakan tidak membawa apa-apa maksud?

Allah juga telah berfirman dalam A-Quran ayat 11, “…janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah panggilan yang buruk (fasik) setelah beriman……”. Maka,  kita perlu memanggil muslimin (orang islam), mukminin (orang yang beriman) dengan panggilan yang disukai mereka dan membawa maksud yang baik.

Hal inilah yang saya nampak pada zaman ini. Bagi saya, tidak salah jika ingin memberikan nama anak panjang berjela tetapi, janganlah dipendekkan sehingga tidak membawa apa-apa maksud. Contohnya nama anak adalah Muhammad Anis Danial, tapi kemudian dipanggil “Dani”.. Dani tidak membawa apa-apa maksud, maka apakah relevannya letak nama anak panjang-panjang dan maksudnya, SubhanAllah, begitu cantik sekali, tetapi dipanggil dengan nama yang tidak mempunyai maksud yang baik. Jika nama yang panjang tetap menjadi pilihan, maka silakan memanggil anak anda dengan nama tersebut. Namun ingatlah setiap panggilan itu adalah doa. Lagi-lagi panggilan yang keluar daripada mulut seorang ibu.


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD S.A.W~~