TUJUAN PERKAHWINAN
Carilah
calon jika kamu sudah bersedia untuk berkahwin. Bersedia dengan ilmu, zahir,
batin dan fizikal. Namun harus kita ketahui apakah sebabnya kita mahu
berkahwin. Adakah kerana rakan-rakan disekeliling kita kebanyakannya sudah
berumah tangga? Adakah kerana sering mendengar paluan kompang di majlis
perkahwinan? Banyak lagi perkara yang mendorong kita untuk berkahwin. Tetapi,
jangan kita lupa. Perkara utama untuk berkahwin adalah kerana Allah. Bagaimana
pula berkahwin kerana Allah? Adakah cukup dengan niat “ Sahaja aku berkahwin
dengannya kerana Allah”, kemudian abaikan segala larangan Allah?
Banyak hikmah perkahwinan ini jika kita mahu kaji
sedalam-dalamnya. Kalian boleh merujuk pada satu post saya yang bertajuk Hadis
Dan Ayat Al-Quran Mengenai Perkahwinan.
1.Bagi mengelak fitnah.
Wahai sahabat, sahabiah sekalian. Saya amat yakin bahawa antara
kalian pasti pernah melalui saat apabila diminati seseorang. Saya juga mengakui
hal ini. Tidak kiralah lelaki atau wanita, mereka pasti pernah melalui hal ini.
Fitrah manusia jangan mula dibiarkan berleluasa menjadi fitnah dunia. Lelaki
dan wanita ibarat tarikan magnet. Ketahuilah wahai wanita, setiap inci tubuhmu
bisa menarik perhatian lelaki di luar sana. Kerana itulah Islam mendidik kita
agar menjaga aurat, sekaligus kita boleh menjaga maruah kita. Tetapi apakan
daya jika sudah cukup kita menutup aurat, malah kita masih menjadi rebutan.
Jangan disalahkan takdir dan jangan disalahkan wajahmu yang menawan itu.
Anggaplah itu sebagai ujian daripada Allah. Di sinilah kita perlu kuat. Jika
kita mampu, inilah masanya untuk kita bernikah bagi mencantas perasaan-perasaan
yang tidak manis ini.
2.Menepis bisikan syaitan.
Percayalah walaupun kita sebenarnya hanya berkawan, tetapi rasa
suka itu pasti terbit hanya kerana bisikan syaitan. Kita perlu sedar bahawa
syaitan menggunakan kelemahan kita bagi menjatuhkan kita ke dalam neraka
jahanam. Itulah janji syaitan kepada Allah. Syaitan sendiri melaksanakan
janjinya kepada Allah. Lalu bagaimana dengan kita yang dulunya pernah berjanji
untuk beribadat dengan Allah sewaktu di alam roh? Adakah kita menunaikan janji
kita? Sekadar peringatan buat kita. Syaitan menangis tatkala terlafaznya ijab
dan qabul. Segala hubungan telah menjadi halal. Maka bisikannya untuk
menjerumuskan manusia ke dalam cinta haram telah gagal. Tidakkah kita suka
apabila ‘musuh’ kita tewas dalam mempengaruhi kita?Syaitan sebenarnya tidak
berputus asa. Apabila sudah berkahwin, maka dia akan mempengaruhi kita dalam
bentuk lain pula. Hanya orang yang beriman bisa menewaskan syaitan. Ayuh kita
usahakan itu.
3.Perkahwinan satu ibadah.
Saya juga sering tertanya, bagaimana perkahwinan boleh menjadi
ibadah. Jawapannya adalah, perkahwinan sebenarnya ibarat satu laluan di mana di
atas jalah tersebut terdapat banyak batu-batu permata. Batu permata tersebut
saya ibaratkan seperti ‘pahala’. Bagaimana kita mahu mengutip batu
permata (pahala) tersebut ? Senyuman isteri buat suami, bingo! Isteri dapat
pahala. Suami beri sesuap nasi buat isteri, bingo! Suami dapat pahala.
SubhanAllah… Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Bila isteri itu
mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara
kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan
dia ke dalam syurga." (riwayat Abu Hurairah).
Teringat kisahnya Fatimah, anak kesayangan Rasulullah SAW.Suatu
hari, Rasulullah SAW masuk ke rumah anaknya.Didapati puterinya yang berpakaian
kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.Fatimah
segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya
itu.Lalu ditanya oleh baginda, "Wahai buah hatiku, apakah yang engkau
tangiskan itu? Semoga Allah menggembirakanmu."Dalam nada sayu Fatimah berkata,
"Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa
mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai
ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan
seorang pembantu untukku?"Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan
kisaran tepung itu.Dengan lafaz bismillah, Rasulullah SAW meletakkan segenggam
gandum ke dalam kisaran itu.Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu
dengan sendirinya.Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan
hadiah istimewa dari ayahandanya itu.Habis semua gandumnya dikisar dan batu
kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti,
sehinggalah Rasulullah SAW menghentikannya.Berkata Rasulullah SAW dengan
kata-kata yang masyhur, "Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan
kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih kesenangan di akhirat untuk
keluarga kita."Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa
kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.Ayahanda yang penyayang itu
terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang lalu berkata,
"Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa
yang kau pinta itu?""Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti
Fatimah kegirangan.Rasulullah SAW bersabda :"Jibril telah mengajarku
beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca
'Subhanallah' sepuluh kali, Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar'
sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah'
dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali."Ternyata amalan itu
telah memberi kesan kepada Siti Fatimah RA. Semua kerja rumah dapat
dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.
Manisnya kehidupan selepas berkahwin. Satu lagi sebelum saya
terlupa. Perkahwinan juga adalah ibadah sekiranya kita menyayangi keluarga
pasangan kita sebagaimana keluarga kita sendiri. Mak pasangan kita juga mak
kita. Begitu juga dengan bapa pasangan kita adalah bapa kita. Maka layanilah,
hormatilah mereka sebagaimana kita lakukan kepada keluarga kita. Jatuhlah
tanggungjawab kita sebagai seorang anak terhadap mak dan bapa mertua.
InsyaAllah, jika kita ikhlas kerana Allah, maka Allah akan permudahkan segala
urusan.
4.Menjamin nasab yang baik.
Hubungan lelaki dan wanita sudah pasti melahirkan seorang bayi.
Perkahwinan adalah bagi menjamin nasab bagi bayi yang lahir. Hal ini
sangat-sangat penting dalam islam. Nasab amat penting dalam islam. Jika
sepasang suami isteri mengambil anak angkat, lalu di ‘bin’ kan anaknya kepada
ayah angkatnya, maka ayah tersebut masih tidak boleh mewalikan anak itu dalam
pernikahan terutamanya anak angkat perempuan. Jika perkara ini berlaku juga
tanpa pengetahuan orang, maka perkahwinan anak perempuan itu tidak sah. Lalu
bagaimana dengan hubungan pasangan suami isteri itu? Sudah tentulah tidak sah.
Jika lahir anak dari perhubungan itu, maka bagaimana pula dengan nasab anak
itu? Perkahwinan yang sah akan melahirkan anak yang baik dan menjamin keturunan
yang jelas dalam salasiah keluarga. Anak itulah satu anugerah Allah ibarat kain
putih, lalu kita mencoraknya.. Itulah kata orang, jika mahu melihat ibu bapa,
maka lihatlah tingkah anak mereka. Allahu a’lam. Zaman sekarang juga anak-anak
senang dipengaruhi oleh banyak faktor dari luar.
Jika tiada anak dari hubungan suami dan isteri tersebut, maka adakah penceraian itu jalan penyelesaiannya? Memang kita tidak nafikan semua orang mahukan anak. Tapi ketiadaan anak, bukanlah satu permintaan pasangan itu. Jika sanggup, berpoligamilah. "Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu tidak dapat berlaku adil diantara isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu berkahwin seorang sahaja." (An-Nisa: 3). Jika tidak sanggup, bolehlah mengambil anak angkat, lalu disusukan.
5.Tempat berkasih sayang.
Dalam sebuah perkahwinan, dapatlah kita lihat seorang lelaki yang
gagah dan perkasa diluarnya, menjadi lemah lembut dan manja. Sebagaimana
Saidina Umar yang terkenal dengan sifat tegasnya, menjadi lemah lembut dan
sangat penyayang apabila berada didalam rumahnya. Di sinilah tempat tercurahnya
segala kasih dan sayang. Kasih sayang perlulah seiring dengan sikap saling
memahami. Jika hubungan atas dasar kasih sayang, maka ia akan pudar serta
merta. Bagaimana jika suami berlaku kasar pada isteri kerana dia dalam keadaan
penat? Janganlah pula isteri merajuk dan menarik muka. Isteri perlu memahami
suami. Bagaimana pula jika isteri yang bekerja tidak sempat mengemas rumah?
Suami janganlah marah. Faham dan bantulah isteri.
~~Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW~~
No comments:
Post a Comment