Saturday, July 28, 2012

Analogi dan Islam


Apa pentingnya Islam dan analogi? Analogi bukanlah satu perkara yang mirip atau perkara yang serupa, tetapi analogi adalah satu perumpamaan atau gambaran bagi menjelaskan sesuatu perkara.  Selalunya analogi digunakan untuk sesuatu yang kita tak nampak.  Boleh jadi itu adalah teori, perkara ghaib ataupun konsep. Di sini sukalah saya ingin berkongsi beberapa analogi yang berkaitan Islam. Mungkin juga pembaca boleh menambah analogi yang kalian tahu agar kita boleh berkongsi. Berdakwah menggunakan analogi adalah sesuatu yang menarik dan membuktikan bahawa pendakwah itu kreatif dalam menarik minat mad’u ke arah Ad-deenul islam..

PENEMBAK TEPAT VS IMAN
Saya percaya, rata-rata sudah biasa dengan analogi ini. Penembak tepat bagi membezakan percaya dan yakin dalam menjelaskan konsep iman. Ada seorang penembak tepat berjaya menembak buah epal dengan tepat. Tapi apabila si penembak tepat meminta  salah seorang menawarkan diri untuk meletakkan buah epal itu di atas kepala, maka tiada siapa yang mahu. Itulah yang dikatakan percaya. Tapi sekiranya kita bersedia menawarkan diri, maka itu membuktikan bahawa kita ini yakin dengan penembak tersebut. Percaya dan yakin adalah dua perkara yang berbeza. Maka iman itu  sebenarnya adalah, kita yakin dengan Allah. Bukannya satu kepercayaan semata-mata. Tapi keyakinan kita dengan kekuasaan Allah. Yakin dengan Allah yang menciptakan alam yang terbentang luas, yakin dengan ketentuan Allah. Yakin boleh dipisahkan dengan percaya, tapi percaya tidak boleh dipisahkan dengan yakin.

CURRENT VS NERAKA
Analogi ini saya dapat dari Ustaz Harun Din dalam rancangan Tanyalah Ustaz. Agak menarik juga. Jika kita mengeja ‘current’ (dalam jawi) akan terdirilah perkataan ini daripada gabungan huruf kaf, alif, ra dan nun. Jika kita terbalikkan ejaan ini nun, ra, alif dan kaf maka terbitlah perkataan ‘neraka’. Mengapa kita yakin dengan current tetapi kita tidak yakin dengan neraka? Jika kita diminta untuk memegang current, maka adakah kita sanggup memegangnya? Sudah tentu tidak bukan? Current itu adalah ilmu fizik. Kita yakin sebab kita tahu konsepnya. Neraka pula adalah metafizik. Sekalipun kita tidak dapat melihat neraka, tapi Allah begitu menyayangi kita sehingga banyak digambarkan tentang neraka itu, contohnya dalam surah Al-Waqiah dan banyak lagi.

AIR KOPI VS HATI YANG KOTOR
Agak unik juga. Analogi ini saya peroleh daripada Ustaz Zamri dalam rancangan Adik Dan Al-Quran.  Disediakan dua gelas. Satu gelas berisi air kopi dan satu gelas lagi berisi air putih.Air putih itu diibaratkan sebagai hati yang bersih. Air kopi pula adalah hati yang kotor. Air yang hitam pekat dan kita tidak boleh nampak apa isi dalam air tersebut. Tidak boleh ditembusi cahaya. Maknanya hati itu tidak menyerap ‘nur’ Allah.  Begitu berbeza dengan air kosong (hati yang bersih tadi). Tapi kita harus ingat. Walaupun hati kita bersih, kita masih perlu menjaganya agar tidak dicemari dengan kotoran seterusnya menghalang hidayah Allah. Berbalik semula kepada hati yang kotor tadi. Lalu bagaimana kita mahu membersihkan hati yang kotor itu? Ingatlah, Allah itu suka kepada hambanya yang bertaubat. Jika kita masukkan air putih (diibaratkan sebagai ilmu agama) ke dalam air kopi tadi, sedikit demi sedikit, maka akan berlakunya pencairan molekul kopi dalam air tersebut. Semakin banyak ilmu agama yang kita pelajari, maka semakin banyak air putih yang ditambah ke dalam air kopi yang seteruskan memudarkan warna hitam pada air kopi tersebut bagi mendapatkan hati yang bersih (air yang jernih).

ANGIN DAN ALLAH
Jika ditanya tentang Allah, salah satu jawapan yang kita boleh berikan ialah, angin. Kita rasa angin, kita nampak pokok bergoyang disebabkan angin tapi kita tak nampak angin. Begitu jugalah Allah. Jika kita beribadat kepadaNya, maka kita akan rasa tenang, akan sentiasa dilindungiNya, walaupun kita tidak nampak Allah. Jika kita mahu melihat Allah, maka bertaqwalah. Telah Allah janjikan bahawa hambanya akan dapat melihatNya di syurga nanti.. Allahu a’lam.

AIR SUSU DAN ALLAH
Kita ambil segelas air putih. Kita nampak air itu jernih. Bila kita tambah dengan pewarna air ataupun susu, maka air tadi akan berubah warna. Sudah tidak kelihatan air putih tadi melainkan ia telah berubah warna mengikut pewarna yang telah kita tambahkan. Lalu, adakah molekul air putih tadi masih ada dalam cawan? Ya, molekul itu masih ada lagi, tapi sudah berubah warna. Begitulah Allah. Kita tak nampak Allah, tapi Allah itu ada. Sentiasa memerhatikan kita.

KERETA VS PENDAKWAH
Kita bayangkan sebuah kereta yang dipandu oleh seseorang di atas jalan raya.  Minyak itu ibarat tarbiyah (didikan). Dakwah itu ibarat jalan dan siasah itu ibarat pemandu. Tiga unsur ini amat berkait rapat dalam menggerakkan kereta itu. Sebuah kereta perlukan minyak untuk bergerak. Begitu juga pendakwah. Pendakwah perlulah mengisi ilmu didada sebelum berdakwah, agar lebih mudah dia menyampaikan amar ma’ruf dan  nahi mengkar. Sebuah kereta perlukan juga laluan atau jalan supaya kereta tidak melencong dan menuju ke arah yang betul. Sepertimana juga pendakwah yang memerlukan medan dakwahnya. Barulah mempunyai target dan kena pada tempatnya. Kereta juga memerlukan pemandu bagi mengawal kereta tersebut. Tidak mungkin kereta berjalan sendiri, sedangkan kereta kawalan jauh juga memerlukan orang bagi mengawal pergerakannya. Begitu jugalah pendakwah yang memerlukan siasah bagi bergerak kerja.

Allahu a’lam bissowab…

~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~

No comments:

Post a Comment