Wednesday, September 4, 2013

Adilkah islam?

Adilkah islam? Alhamdulillah, sepanjang tempoh latihan industri, Allah telah menempatkan saya dengan seorang rakan sebilik yang berbangsa Cina. Semakin bergetar rasa jantungku ini. Bukannya apa. Takut disoal diakhirat kelak. Terngiang-ngiang rasanya nanti Allah akan tanya, “Wahai Chee, mengapa kamu tetap mensyirikkan Allah. Tidakkah ada dikalangan kamu yang islam, menerangkan Islam kepadamu?” “Ya,.. hana rakan sebilikku. Dia tidak pernah memberitahuku tentang Islam”..

Huuaa.. memang menakutkan. Jadi, saya pun cuba sedikit demi sedikit memperkenalkan islam kepadanya.  “Chee, bagaimana kepercayaan agamamu terhadap manusia pertama?” Maka Chee pun mula bercerita. Setelah itu, tiba pula giliran saya. “Oh.. begitu, tetapi lain pula dengan islam. Manusia pertama diciptakan dari tanah iaitu Nabi Adam. Hawa pula dari tulang rusuk Nabi Adam. Dekat dihati untuk disayangi. Bukan dari tulang kepala untuk dijunjung dan bukan dari tulang kaki untuk dipijak-pijak. Dan seterusnya penciptaan manusia adalah daripada air mani..” Boleh rujuk surah Al-Insaan, Al-baqarah dan As-Sajadah. In shaa Allah.

Boleh dikatakan, hampir tiap-tip hari kami bercerita tentang agama. Chee juga sering bertanya soalan. Saya suka cara Chee. Dia bertanya dan bukannya membuat andaian sendiri. At least boleh explain sekiranya pandangan mereka itu salah. Alhamdulillah. Terima kasih Chee sebab awak permudahkan saya berdakwah atau menyampaikan tentang islam kepadamu.  Semoga Allah membuka pintu hatimu untuk memeluk agama islam suatu hari nanti. Aamiiin

Suatu hari, Chee bertanya kepada saya. “Hana, islam itu tak adilkan?” Saya terkedu. Macam nak marah, tapi saya memandang wajahnya dan tersenyum. “Kenapa awak cakap begitu Chee?” Saya masih tersenyum. Jangan cepat melatah. Mereka tidak tahu. Untunglah mereka bertanya. Mereka bertanya sebab mereka masih memberi peluang kepada kita memberi hujah dan kepada dirinya dalam menilai hujah.

“Islam melebihkan lelaki… kesian wanita kan…?” Balas Chee. Saya masih tersenyum dan cuba menjawab tenang. “Oh.. sebab itukah Chee. Okay, berikan saya masa untuk explain kat awak ya… pertama sekali, islam adalah agama yang adil. Kenapa saya cakap begitu? Okay, saya akan beri awak gambaran. Contohnya awak ada 2 orang anak. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Dua-dua perlukan pakaian. Anak lelaki awak belikan t-shirt dan anak perempuan awak belikan gown. Itu baru adil. Dikira tidak adil jika awak belikan kedua-duanya gown atau t-shirt  kerana itu bukanlah fitrah atau diri semulajadinya. Begitu juga dalam islam dalam membelikan songkok untuk anak lelaki dan tudung untuk anak perempuan. Adil maksudnya sesuai dengan tempatnya, bukan dengan persamaan kuantiti. Tidak adil juga jika kita biarkan orang yang pendek beratur dibelakang orang yang tinggi. Itu sudah melangkaui kemampuannya. Itu tidak adil, walaupun yang tinggi datang awal.

Dari segi pembahagian harta, Allah utamakan lelaki kerana mereka mempunyai tanggungan isteri dan anak. Anak perempuan pula akan menjadi tanggungan suaminya. Tetapi pembahagian harta ini boleh berubah sekiranya anak lelaki yang kaya, menyedekahkan pembahagian hartanya kepada adik perempuannya yang dalam kesempitan hidup. Begitu juga seperti apa yang telah Allah tetapkan, Allah tidak pernah menjatuhkan martabat wanita. Ya, dalam islam memang keredhaan isteri adalah pada suaminya, tetapi, jangan lupa. Keredhaan suami pula adalah kepada ibunya.”

Banyak lagi hujah dan huraian yang boleh diberikan. Cuma satu pesanan saya. Tolonglah jangan marah apabila orang kafir bertanya tentang islam. Mereka ingin tahu tentang islam, cuma bentuk soalan mereka yang tak berapa sesuai. Mereka yang bertanya itu lebih baik berbanding mereka yang membuat persepsi buruk seterusnya melabel kita sebagai terrorist. Wallahu a’lam


~~SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD SAW~~         

No comments:

Post a Comment