Tuesday, June 30, 2015

Penantian Cahaya Mata

   Bismillahirrahmanirrahim… Sudah berhabuk rasanya blog ini… Lama tidak singgah dan update topik yang baru. Maklumlah, berbulan melalui morning sickness yang membuatkan mata tidak segar mengadap lap top, fikiran melayang hinggakan suami ke laut pun, tiada emosi berlebihan… Kali ini nak berkongsi sedikit mengenai penantian cahaya mata..

   Syukur Alhamdulillah, akhirnya disahkan hamil.. ^__^.. Rasanya ingin bersujud lama-lama dan berterima kasih dengan Allah atas nikmat yang Dia pinjamkan seketika buat diriku ini. Semoga semuanya bermula dan berakhir dengan perkara yang baik.

   Hati mana yang tidak gelisah jika sudah dua tahun berkahwin, tetapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Orang sekeliling sering bertanya, seolah tiada usaha yang saya dan suami lakukan. Terkadang rasa kecewa kerana soalan yang mereka ajukan seolah mempersoalkan ketentuan Allah. Tiada siapa yang tahu setakat mana rezeki kita dan bagaimanakah bentuk ‘rezeki’ yang Allah kurniakan kepada kita. Syukur, Alhamdulillah, hati ini yakin bahawa Allah telah menetapkan masa yang benar-benar sesuai agar anak yang bertuah ini lahir pada masa yang tepat. Walapun terpaksa menangguhkan satu semester demi keselamatan bayi tercinta ini dari bahaya bahan kimia dalam makmal.

    Sepanjang dua tahun empat bulan penantian ini, saya rasa bersyukur sangat kerana terlalu banyak hikmah yang saya peroleh. Dengan satu tempoh masa inilah membuatkan saya merasai apa yang dilalui oleh pasangan yang tidak dikurniakan cahaya mata. Allah permudahkan pernikahan kami, dan Allah uji pula kami dengan perkara yang lain. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil. Inilah perasaan mereka yang menanti cahaya mata bertahun lamanya. Rasa bagai ingin duduk jauh dari orang yang mengenali kita. Bukan kerana tidak sabar dengan ujian Allah, tetapi kerana ‘berbisanya’ mulut orang disekeliling seolah tidak percaya qada dan qadar Allah.

   Sepanjang penantian cahaya mata, pelbagai usaha saya dan suami lakukan. Di sini saya ingin berkongsi usaha tersebut. Mungkin terlalu banyak yang saya senaraikan di sini. Saya juga tidak tahu mana satukah asbab Allah memberikan saya peluang untuk hamil ini. Bagi saya, setiap apa yang saya lakukan hanyalah sebagai ikhtiar. Hanya Allah yang Mengetahui. Setiap orang, usahanya dan asbabnya berbeza. Ini sekadar perkongsian dari seorang hamba Allah yang sangat lemah.

1.      Amalan doa ibu hamil “Rabbi la tazarni fardau, wa anta khoirul warisin” yang bermaksud, “Ya Allah, janganlah Engkau biarkan diriku sendiri (tanpa zuriat), dan Engkaulah juga sebaik-baik yang Mewarisi” Anbiya:89.



2.      Doa sendiri dari hati sebagai contoh “Ya Allah, hanya pada-Mu tempat hamba memohon. Engkau berilah peluang agar hamba boleh merasai susahnya mengandung sebagaimana yang dilalui ibuku. Engkau berilah hamba kesempatan melalui kesakitan melahirkan sebagaimana wanita lain merasakan. Engkau berilah hamba peluang merasai cabaran mendidik anak mengikut syariat-Mu. Engkau berilah hamba kesempatan itu ya Allah. Hamba redhakan anak hamba untuk kerja dakwah ad-deen Mu…”

3.      Banyakkan beristighfar. Mohon pada Allah agar kesalahan kita sama ada sedar atau tidak, kecil atau besar diampunkan. Rasulullah S.A.W bersabda, “Barangsiapa yang beristighfar dengan tekun, maka Allah memberinya jalan keluar dari segala kesusahan dan kesempitan hidupnya, dan Allah memberinya rezeki secara tak terduga.” Hadis Riwayat Abu Daud.

4.      Banyakkan bersedekah. Tak kiralah nilainya besar atau kecil, sedekah dapat membersihkan harta kita. Jika ada banyak duit, sedekahlah banyak. Jika kurang, 10sen pun sudah dikira sedekah. Yang penting niat kita ikhlas. Sedekah juga sebaiknya dirahsiakan. “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas (kurnianya) lagi Maha Mengetahui.” Al-Baqarah: 261. Suami isteri digalakkan bersedekah. Kadang-kadang Allah uji kita melibatkan duit, kerana Allah nak ingatkan kita supaya bersedekah. Boleh juga buat satu tabung di rumah. Setiap kali lepas Subuh, kita masukkan duit, walaupun 10sen, dan kemudian niatkan untuk dapat zuriat yang baik. Bila duit tabung tu da banyak, boleh la sedekah kat mana-mana. Buat jamuan untuk anak yatim, sedekah duit di masjid atau belikan telekung dan apa-apa pun mengikut keperluan sesuatu tempat tersebut. In shaa Allah. Bila da sedekah, lupakanlah jumlah dan apa yang kita dah sedekah tu. Setiap kali sedekah, niatkan untuk dapat anak yang soleh dan buat ibu bapa atau saudara yang sudah tiada.

5.      Bela haiwan peliharaan. Tidak kisahlah nak bela apa pun… Saya pilih rabbit kerana najisnya tak berbau terlalu kuat jika dibandingkan dengan najis kucing. Dan yang penting, rabbit lebih besar dan gebu berbanding hamster… hihihi… Kita bela haiwan dengan baik, in shaa Allah haiwan itu akan mendoakan kita.

6.      Fikir orang lain dalam setiap perkara. Selalunya, kalau nak rendahkan ego, kita akan buat perkara yang serendah2nya jika dibandingkan dengan tahap pendidikan atau kerjaya kita. Jika kita belajar sampai PhD, janganlah kita pula memulakan suasana tandas yang kotor. Kalau tak sanggup bersihkan tandas, cukuplah kita bersihkan bahagian yang kita telah gunakan. Itu juga dikira membantu mak cik cleaner. Macam mana nak jadi sensitive dengan persekitaran? Jawapannya adalah, menanamkan sifat empati dalam diri. Empati adalah kita meletakkan perasaan atau situasi orang lain dalam diri kita. Seperti contoh yang tadi, kita bayangkan kita mak cik cleaner tandas tu. Mestilah kita akan lebih bertanggungjawab. Perkara ini kecil, tapi tak semua mampu melakukannya melainkan dengan izin Allah. Kita memudahkan orang lain, dan mungkin ada di antara mereka yang akan mendoakan kita yang memudahkan urusan mereka.

7.      Minta doa dari ibu bapa dan orang lain. Saya selalu meminta ibu mendoakan saya berjaya setiap kali sebelum menjawab soalan peperiksaan. Saya juga sering meminta ibu mendoakan agar saya dikurniakan cahaya mata yang soleh/solehah. Doa ibu itu makbul, tiada hijab. In shaa Allah. Saya juga ada mengirimkan doa kepada dua orang rakan saya yang menunaikan umrah, dua bulan sebelum saya hamil.

8.      Supplement. Saya juga ada mencuba beberapa supplement yang dikatakan berkesan untuk mendapatkan cahaya mata contohnya Furmon, pil herba cina dan mineral coffee. Tapi semuanya tidak memberi sebarang kesan. Semua hanya ikhtiar dan tidak akan berlaku tanpa izin Allah.

9.      Pemeriksaan kesihatan. Saya sudah beberapa kali menghubungi LPPKN, namun gagal. Dua hari kemudian, saya disahkan hamil. Alhamdulillah. Pemeriksaan kesihatan amat mahal. Jadi, puas saya berdoa agar Allah berikan keajaiban kepada saya. Kerana Allah itu Maha Berkuasa dan mampu membenarkan perkara yang ajaib dan mustahil itu berlaku.

10.  Saya mencuba ovulation test kit. Kit ini adalah untuk mengesan LH (luteinizing hormone) yang tinggi sebelum perlepasan telur wanita (ovum). Kit ini boleh didapati di Watson, Guardian atau Farmasi. Alhamdulillah, baru cuba sekali, Allah permudahkan.

   Setakat ini, itu sahaja perkongsian saya mengenai ikhtiar yang saya cuba usahakan agar mendapat peluang untuk hamil. Mungkin banyak usaha yang saya rasakan telah dicuba, tetapi, mana tahu mungkin datang dari asbab yang lain. Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Bagi mereka yang masih menanti cahaya mata, yakinlah. Usaha dengan penuh tawakal kepada Allah. Kadang-kadang perkara itu terlalu kecil dan berada di sebelah kita, tetapi kita yang tidak nampak. Hiraukan herdikan atau soalan pedas orang lain. Yakin dengan Allah. In shaa Allah.. La tahzan.. Innallaha ma ana… Jangan bersedih. Allah sentiasa dengan kita.

~~SELAWAT DAN SALAM ATAS JUNJUNGAN NABI MUHAMMAD S.A.W~~




1 comment: